Wednesday

01 - HAKIKAT TASAWUF

HAKIKAT TASAWUF



Ajaran tasawuf telah menular ke seluruh negara Islam di dunia ini. Dalam menanggapi ajaran tasawuf manusia terbahagi menjadi dua kelompok (pro dan kontra).

Dengan demikian, bagaimanakah seorang muslim mengetahui yang hak, apakah ia harus bersama orang-orang yang mendukung ajaran tasawuf dan berjalan bersama mereka, ataukah ia harus bergabung dengan orang-orang yang menentang ajaran tersebut dan menjauhi mereka? Oleh itu mengembalikan perkara ini kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai merealisasikan kenyataan firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala:

فَاِنْ تَنَازَعْتُمْ فِى شَيْئٍ فَرُدُّوْهُ اِلَى اللهِ وَالرَّسُوْلِ

“Kemudian apabila kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya).” AN NISA’ 4:59

Di zaman Rasul sallallahu ‘alaihi wa-sallam serta para sahabat dan para tabi’in, umat Islam tidak mengenal nama tasawuf (sufi), hanya setelah munculnya kelompok orang-orang zuhud yang memakai baju dari kain wool, berpunca darinya sebahagian ulama menasabkan nama ini kepada mereka. Sebahagiannya ada yang menyatakan bahawa kalimah “Sufiyah” diambil dari kalimah “Sufiyaa” (Bahasa Yunani Kuno yang ertinya bijaksana atau filsafat yang bermaksud al-Hikmah). Semuanya ini lahir setelah buku-buku Yunani diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab. Sebenarnya kalimah Sufiyah bukan diambil dari kalimah “as-Sofaa’u” sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian penganut sufi, kerana jika dinasabkan kepada kalimah “as-Sofa” akan menjadi “Sofaa’i” dan bukan “Sufi”.

Abu al-Hassan an-Nadwi di dalam kitabnya: “Rabbaniyah laa Ruhbaniyah” berkata: “Aduhai! Jika sekiranya mereka tidak menyatakan “Sufiyah” tetapi menyebutnya “Tazkiyah” sebagaimana firman Allah Ta’ala:

وُيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وُيُزَكِّيْهِمْ

“Dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan hikmah serta mensucikan mereka.” AL-BAQARAH 2:129

Dengan ini jelaslah bahawa munculnya istilah tasawuf adalah nama baru yang menjadi penyebab pecah-belah jamaah kaum muslimin. Ternyata juga, bahawa antara ajaran tasawuf yang awal-awal (permulaan) dengan ajaran tasawuf yang sekarang ini terdapat perbezaan, kerana pada ajaran tasawuf yang sekarang ini dipenuhi dengan berbagai-bagai bid’ah yang telah menyebar-luas. Malah bid’ah dalam ajaran sufi/tasawuf sekarang lebih banyak daripada yang dipermulaannya.

Sedangkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah memperingatkan kepada kita terhadap bahayanya perbuatan bid’ah sebagaimana sabdanya:

اِيَّاكُمْ وُمُحْدَثَاتِ اْلُمْوْرِ فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

“Jauhi oleh kamu perkara-perkara yang baru, kerana setiap yang baru (dalam agama) adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat.”[1]

Adapun sikap yang pertengahan dalam menghadapi sufi, hendaknya kita letakkan ajaran-ajaran tasawuf ini di atas pertimbangan Islam, supaya kita dapat mengetahui benar atau sesatnya ajaran tersebut dari neraca Islam:

1. Doktrin tasawuf mempunyai banyak tariqat-tariqat (cara/jalan yang diprogremkan oleh Syeikh untuk para muridnya. Ia berupa kewajipan–kewajipan dan metod yang harus dipatuhi secara ketat). Contohnya tariqat at-Tijaniyah, al-Qadariyah, an-Naqsabandiyah, asy-Syazaliyah, ar-Rifa’iyah dan tariqat-tariqat yang lainnya, yang mana setiap tariqat mendakwa bahawa tariqatnya adalah yang paling benar sedangkan tariqat yang lain adalah batil. Islam melarang perpecahan seperti ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala :


وَلاَتَكُونُوْا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ مِنَ الَّذِيْنَ فَرَّقُوْا دِيْنَهُمْ وَكَانُوْا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُوْنَ.

“Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka menjadi beberapa golongan, tiap golongan bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” AR-RUUM 30:31,32

2. Para penganut sufi, mereka berdoa (memohon/meminta) kepada selain Allah, seperti para Nabi dan wali, yang masih hidup ataupun yang sudah mati. Mereka semasa berdoa mengatakan: “Wahai Jailani, wahai Rifa’i dan wahai Rasulullah! Tolonglah kami, selamatkanlah kami, (hanya) kepadamu tempat bersandar.”

Allah ‘Azza wa-Jalla melarang kita berdoa kepada selainNya dan Dia mengkategorikannya sebagai perbuatan syirik sebagaimana firmanNya:

وَلاَ تَدْعُ مِنْ دُوْنِ اللهِ مَا لاَ يَنْفَعُكَ وَلاَ يَضُرُّكَ فَاِنْ فَعَلْتَ فَاِنَّكَ اِذًا مِنَ الظَّالِمِيْنَ.

“Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudharat kepadamu selain Allah, kerana jika kamu berbuat (yang demikian) maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang-orang yang zalim.”
YUNUS 10:106

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

اَلدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ
“Doa adalah ibadah.”[2]

Oleh kerana doa adalah ibadah seperti solat (sembahyang), maka tidak boleh ditujukan kepada selain Allah walaupun kepada Rasulullah atau wali kerana ia termasuk syirik akbar (syirik besar) yang membatalkan amal kebajikan dan mengekalkan pelakunya di dalam api neraka.

3. Para penganut sufi mempercayai adanya badal-badal (pengganti), qutub-qutub dan wali-wali yang Allah memberikan kepada mereka kuasa untuk mengarahkan dan mengatur urusan-urusan Allah. Allah ‘Azza wa-Jalla menceritakan tentang jawapan orang musyrik ketika mereka ditanya:


وَمَنْ يُدَبِّرُاْلاَمْرَ فَسَيَقُوْلُوْنَ اللهُ


“Dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: “Allah”. YUNUS 10 : 31

Para penganut sufi berlindung kepada selain Allah ketika ditimpa musibah sedangkan Allah telah berfirman:

وَاِنْ يَمْسَسْكَ اللهُ بِضُرٍّ فَلاَ كَاشِفَ لَهُ اِلاَّ هُوَ وَاِنْ يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْىءٍ قَدِيْرٌ.

“Jika Allah menimpakan suatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu maka Dia Maha Kuasa atas tiap sesuatu.” AL-AN’AM 6:17

Allah mengkhabarkan hal keadaan orang-orang musyrikin di zaman jahiliyah ketika mereka ditimpa kesusahan:

اِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فَاِلَيْهِ تَجْاَرُوْنَ

“Bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya kepada Allah kamu meminta pertolongan” AN-NAHL 16:53

4. Sebahagian penganut sufi menyakini adanya wahdatul wujud, iaitu bersatunya antara hamba dengan Allah (wahdatul wujud ialah ajaran Pantiesma yang pelopor utamanya ialah al-Halaj). Mereka tidak membezakan antara Khaliq (Pencipta) dengan makhluk, sehingga setiap makhluk adalah ilah (tuhan). Tokoh mereka Ibnu Arabi penulis kitab al-Awasyim Minal Qawasyim, beliau yang dimakamkan di Damaskus (Syiria) pernah berkata:

“Hamba adalah rabb (tuhan) dan rabb adalah hamba. Aduhai bagaimana ini! Siapa yang mukalaf (bertanggungjawab menjalani syariat)? Jika saya katakan hamba, maka hal itu adalah benar jika saya katakan rabb, bagaimana saya akan mukalaf?” [3]
5. Tasawuf menyeru kepada kezuhudan dalam hidup, meninggalkan usaha dan jihad (fi-sabilillah). Allah Ta’ala berfirman:


وَابْتَغِ فِيْمَا آتَاكَ اللهُ الدَّارَ اْلآخِرَةَ وَلاَ تَنْسَ نَصِيْبَكَ مِنَ الدُّنْيَا.
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi.” AL-QASHASH 28:17
6. Ajaran tasawuf memberikan kedudukan ihsan kepada syeikh-syeikh mereka dan meminta dari mereka supaya membayangkan wajah syeikh-syeikh mereka semasa mereka berzikir kepada Allah sehinggalah dalam mengerjakan solat mereka. Saya ada seorang kawan karib penganut sufi yang mana suatu ketika saya melihat ia meletakkan sebuah gambar syeikhnya di hadapan solatnya sedangkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

اَلاِحْسَانُ اَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَاَنَّكَ تَرَاهُ فَاِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَاِنَّهُ يَرَاكَ.
“Al-Ihsan adalah apabila engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya, sekalipun engkau tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya Ia melihatmu.” [4]
7. Para penganut sufi menyakini bahawa ibadah kepada Allah itu bukanlah kerana rasa takut kepada azab api neraka dan tidak pula kerana rasa tamak untuk mendapatkan syurga Allah. Kenyataan ini dapat dibuktikan dari ucapan Rabi’ah al-Adawiyah (menurut pendapat yang lain sebenarnya dia adalah wanita zuhud yang solehah. Namun sejarah hidupnya telah dimanipulasi oleh orang-orang sufi menjadi salah seorang tokoh wanita sufi):
“Ya Alalh! Apabila aku beribadah kepadaMu lantaran rasa takut dari api nerakaMu, maka bakarlah aku di dalamnya, dan apabila aku beribadah kepadaMu lantaran rasa tamak untuk mendapatkan syurgaMu maka haramkanlah syurga dariku.”
Dan sungguh saya pernah mendengar mereka mendendangkan nasyid gubahan Abdul Ghani an-Nabulisi:
“Siapa yang beribadah kepada Allah lantaran rasa takut azab api nerakaNya, maka bererti ia telah beribadah kepada api neraka dan sesiapa yang beribadah kepada Allah lantaran rasa tamak untuk mendapatkan syurgaNya, maka bererti ia telah beribadah kepada berhala.”
Allah Azza wa-Jalla memuji para Nabi yang mana mereka berdoa kepadaNya kerana mengharap syurgaNya dan kerana takut dari azabNya sebagaimana firmanNya:


اِنَّهُمْ كَانُوْا يُسَارِعُوْنَ فِى الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُوْنَنَا رَغْبًا وَرَهْبًا.
“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam mengerjakan perbuatan baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas.” AL-ANBIYA’ 21:90
Maksudnya: (Orang-orang yang berharap mendapatkan syurga Allah adalah orang-orang yang takut dengan azabNya). Allah Ta’ala berfirman kepada RasulNya yang mulia:

قُلْ اِنِّيْ اَخَافُ اِنْ عَصَيْتُ رَبِّيْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيْمِ
“Katakanlah! Sesungguhnya aku takut akan azab hari yang besar (kiamat) jika aku mendurhakai Rabbku.” AL-AN’AM 6:15
8. Pendoktrinan tasawuf membolehkan tarian, duf (rebana/muzik) dan mengangkat suara dalam berzikir, sedangkan Allah Ta’ala berfirman:

اِنَّمَاالمُؤْمِنُوْنَ الَّذِيْنَ اِذَا ذُكِرَ اللهُ وَجِلَتْ قُلُوْبَهُمْ.
“Sesungguhnya orang-orang beriman, adalah apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah bertambahlah iman mereka.” AL-ANFAL 8:2
Kemudian anda boleh melihat ketika mereka berzikir dengan lafaz (Allah) diakhirnya mereka melafazkan kalimah (Ah,aaa…..h)
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

اَفْضَلُ الذِّكْرِ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ
“Seutama-utama zikir adalah kalimah laa ilaaha illallah (tiada ilah yang berhak disembah selain Allah).[5]

Menguatkan suara dalam berzikir dan berdoa adalah terlarang berdasarkan firman Allah Ta’ala:


اُدْعُوْا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً اِنَّهُ لاَيُحِبُّ الْمُعْتَدِيْنَ

“Berdoalah kepada Rabbmu dengan rendah diri dan suara lembut. Sesunggunya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”AL-A’RAF 7:55

Maksudnya: “Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas dalam berdoa, ucap-ucapan yang tidak terkawal dan mengangkat/menguatkan suara.” [6]

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah mendengar para sahabatnya menguatkan suaranya semasa berdoa, kemudian baginda bersabda:


اَيُّهَاالنَّاسُ ارْبَعُوْاعَلَىاَنْفُسِكُمْ فَاِنَّكُمْ لاَتَدْعُوْنَ اَصَمَّ وَلاَغَائِبًا اِنَّكُمْ تَدْعَوْنَ سَمِيْعًا قَرِيْبًا وَهُوَ مَعَكُمْ.

“Wahai manusia! Rendahkanlah suara kamu, sesungguhnya kamu tidak berdoa kepada Zat yang tuli dan tidak pula ghaib, sesungguhnya kamu berdoa kepada Zat yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat dan Dialah Zat yang bersama kamu.” (Maksud kalimah: “Allah bersama-sama kamu” adalah pendengaran dan Ilmu Allah selalu menyertai kita), Dia mendengar kita dan melihat kita.[7]

9. Para penganut sufi menyebut-nyebut nama khamar dan benda-benda yang memabukkan. Salah seorang penyair mereka Ibnu al-Faridh mendendangkan syairnya:

“Kami minum mudamah (minuman keras daripada anggur) sambil mengingat sang kekasih, kami mabuk dengannya sebelum anggur diciptakan.”

Saya pernah mendengar mereka di masjid bernasyid:

“Berilah (kami) segelas ar-Raah dan minumlah kami dengan al-Aqdah (gelas khamar yang besar)”.
Saya berkata: Para penganut sufi tidak mempunyai perasaan malu menyebut-nyebut jenis khamar di rumah Allah (masjid) yang didirikan untuk berzikir kepada Allah, bukan untuk menyebut jenis khamar yang haram. Allah Ta’ala berfirman:


يَااَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا اِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَاْلاَنْصَابُ وَاْلاَزْلاَمُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوْهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.

“Hai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak (khamar), berjudi, berkorban untuk berhala, bertenung nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.” AL-MAIDAH 5:90

10. Orang-orang sufi terbiasa mengucapkan perkataan-perkataan lucah di samping menyebut nama-nama wanita-wanita dan anak-anaknya di dalam majlis-majlis zikir, mereka sering berulang-ulang menyebut kalimah yang mengandungi erti cinta, berahi nafsu syahwat serta Laila dan Su’ad (nama yang mengisyaratkan kisah cinta seperti Romeo dan Juliet, Rama dan Sita dan lain-lain nama gadis idaman mereka).

Dalam keadaan ini, seolah-olah mereka berada di tempat yang penuh dengan keseronokan di dalamnya ada tarian, khamar-khamar yang diiringi dengan sorak-sorai dan tepuk tangan, sedangkan tepuk tangan adalah dari kebudayaan orang-orang musyrik dan merupakan ibadah dalam agama mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَا كَانَ صَلاَتُهُمْ عِنْدَ الْبَيْتِ اِلاَّ مُكَاءً وَتَصْدِيَةً.
“Sembahyang mereka di Baitullah tidak lain hanyalah siulan dan tepuk tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu.” AL-ANFAL 8:35

11. Para sufi berzikir menggunakan rebana (duf) yang mereka namakan al-Mizhar, sedangkan rebana adalah seruling syaitan. Abu Bakar radhiallahu ‘anhu, pada suatu ketika pernah masuk ke rumah ‘Aisyah radhiallahu ‘anha beliau mendapati di sisi ‘Aisyah ada dua budak wanita sedang memukul rebana. Dengan sepontan beliau berkata: Seruling syaitan (2 kali). Kemudian Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

دَعْهُمَا يَا اَبَابَكْرٍ فَاِنَّهُمَا فِى يَوْمِ عِيْدٍ.
“Wahai Abu Bakar! Biarkanlah mereka berdua kerana sesungguhnya mereka berdua sedang berhari raya.” [8]

Rasulullah menegaskan kepada Abu Bakar radhiallahu ‘anhu bahawa rebana itu hanya diringankan bagi anak-anak perempuan pada hari raya. Tidak ada satu riwayatpun yang menetapkan bahawa para sahabat dan tabi’in menggunakan rebana semasa berzikir tetapi ini adalah salah satu bid’ah orang-orang sufi yang telah dilarang keras oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dengan sabdanya:


مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ اَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

“Barangsiapa beramal dengan suatu amalan yang tidak pernah kami perintahkan padanya maka amalannya tertolak.”[9]

12. Terdapat juga orang-orang sufi yang memukul-mukul dirinya dengan besi panas sambil berkata: “Ya Jadaah!” Kemudian syaitan mendatanginya membantu perbuatannya kerana dia telah beristighasah (meminta pertolongan) kepada selain Allah. Dalilnya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:


وَمَنْ يَعِشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِيْنٌ.

“Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu m,enyertainya.
AZ-ZUKHRUF 43:36

Orang-orang jahil menyangka bahawa perbuatan ini adalah satu antara keramat walaupun pelakunya kadang-kadang seorang fasiq dan orang yang meninggalkan solat. Sedangkan bagaimana kita boleh mengkategorikannya sebagai keramat sedangkan pelakunya beristighasah kepada selain Allah dikala ia berkata : “Ya Jadaah!” Namun (sebaliknya) perbuatan ini adalah termasuk syirik dan sesat. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَنْ اَضَلُّ مِمَّنْ يَدْعُوْا مِنْ دُوْنِ اللهِ.

“Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang-orang yang menyembah sesembahan selain Allah”. AL-AHQAF 46:5

Perkara seperti ini sebenarnya adalah kekuatan syaitan (istidraj) yang secara bertahap dapat menjerumuskan pelakunya ke jalan kesesatan setelah ia memilih jalan untuk dirinya sendiri. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ مَنْ كَانَ فِى الضَّلاَلَةِ فَلْيَمْدُدْ لَهُ الرَّحْمَنُ مُدًّا.

“Katakanlah! Sesiapa yang berada dalam kesesatan biarlah Ar-Rahman (Allah) memperpanjang tempoh baginya.” MARYAM 19:75

13. Dalam kalangan sufi/tasawuf terdapat perpecahan (berbagai-bagai) tariqat-tariqat, seperti tariqat at-Tijaniyah, asy-Syazaliyah an-Naqsabandiyah dan tariqat-tariqat yang lainnya. Sedangkan Islam hanya mempunyai satu jalan saja. Dalilnya ialah hadis dari Ibn Mas’ud radhiallah‘anhu berkata: BahawaRasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah membuat sebuah garis (yang diperlihatkan) kepada kami dengan tangannya, kemudian baginda bersabda: “Inilah jalan Allah yang lurus”, dan baginda juga menggaris di sebelah kanan dan kirinya beberapa garisan, kemudian baginda bersabda: “Pada jalan-jalan ini tidak ada satu jalanpun melainkan ada syaitannya yang menyeru kepadanya.”

Kemudian baginda membaca firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala:

وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُّسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ.
“Dan bahawa inilah jalanku yang lurus maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan lain kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa.” AL-AN’AM 6:153

14. Para sufi mendakwa diri mereka dapat menyingkap dan mengetahui ilmu-ilmu ghaib. Al-Quran menyanggah (dakwaan mereka) sebagaimana terdapat dalam firmanNya:

قُلْ لاَّيَعْلَمُ مَنْ فِىالسَّمَوَاتِ وَالاَرْضِ الْغَيْبَ اِلاَّاللهُ.

“Katakanlah! Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib kecuali Allah”. AN-NAML 27:65

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

لاَيَعْلَمُ الْغَيْبَ اِلاَّ اللهُ.
“Tiada seorangpun mengetahui hal yang ghaib kecuali Allah.” [10]

15. Para penganut sufi berpendapat bahawa Allah menciptakan Nabi Muhammad dari cahayaNya. Dari cahaya tersebut (Nur Muhammad) Allah menciptakan pula sesuatu (menurut mereka kononnya Allah menciptakan segala sesuatu dari Nur Muhammad). Al-Quran mendustakan tanggapan mereka sebagaimana terdapat dalam ayat yang berikut:


قُلْ اِنَّمَا اَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوْحَى اِلَيَّ
“Katakanlah! Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu yang diwahyukan kepadaku”. AL-KAHFI 18:110

Demikian pula firman Allah tentang penciptaan Nabi Adam ‘alaihis salam:

اِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ اِنِّيْ خَالَقٌ بَشَرًا مِّنْ طِيْنٍ.

“Ingatlah ketika Rabbmu berfirman kepada para malaikat! Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah”. SHAD 38:71

Adapun tentang hadis yang berbunyi:


اَوَّلُ مَا خَلَقَ اللهُ نُوْرَ نَبِيِّكَ يَاجَابِرُ.
“Yang pertama kali Allah ciptakan adalah cahaya NabiMu, ya Jabir!” (Hadis ini adalah maudhu’(palsu) dan batil.

16. Penganut sufi mempercayai bahawa Allah mencipta dunia ini kerana Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Al-Quran mengingkari kepercayaan mereka sebagaimana firmanNya:

وَمَاخَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ.

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”.
ADZ-DZARIAT 51:56

Al-Quran menjelaskan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dengan firman Allah:

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَاْتِيَكَ الْيَقِيْنُ.
“Dan sembahlah Rabbmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).
AL-HIJR 15:99

17. Penganut sufi mendakwa bahawa Allah dapat dilihat di dunia ini. Al-Quran menolak dakwaan dengan firmanNya melalui lisan Nabi Musa ‘alaihis salam:

رَبِّ اَرِنِيْ اَنْظُرْ اِلَيْكَ قَالَ لَنْ تَرَانِيْ.

“Ya Tuhanku! Nampakkanlah (dirimu) kepadaku agar aku dapat melihat padaMu. Allah berfirman: “Kamu sekali-kali tidak sanggup melihatKu”. AL-A’RAF 7:143

Al-Ghazali dalam kitabnya: ‘Ihya Ulumuddin (Bab Hikayatul Muhibbin wa Mukasyafaatihim) beliau menceritakan, pada suatu hari Abu Turob berkata: “Aduhai sekiranya aku dapat melihat Abu Yazid!”. Maka temannya menyampuk: “Sesungguhnya aku tidak mempunyai kesempatan menemuinya. Kerana aku telah melihat Allah Ta’ala, maka aku tidak berkeinginan lagi melihat Abu Yazid.” Abu Turob berkata: “Celaka kamu! Apakah kamu akan terpedaya dengan melihat Allah ‘Azza wa Jalla? Padahal sekiranya kamu melihat al-Bustami (Abu Yazid al-Bustami tokoh sufi zindik wafat tahun 261 H.) sekali sahaja, maka hal itu lebih bermanfaat bagimu daripada kamu melihat Allah sebanyak 70 kali.”

Kemudian al-Ghazali menerima contoh-contoh al-mukasyafaat (menyingkap tabir ghaib) seperti ini yang mengomentar seseorang mukmin yang tidak mengingkarinya.

Saya membantah pendapat al-Ghazali: Bahkan wajib bagi setiap mukmin mengingkarinya kerana hal itu adalah pembohongan yang bertentangan dengan al-Quran, Sunnah dan akal yang sihat.

18. Para penganut sufi mendakwa bahawa mereka sekarang ini dapat melihat Rasul sallallahu ‘alaihi wa-sallam dalam keadaan berjaga. Al-Quran membatalkan anggapan mereka sebagaimana Allah berfirman:

وَمِنْ وَرَآئِهِمْ بَرْزَخٌ اِلَى يَوْمِ يُبْعَثُوْنَ.

“Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan.” AL-MUKMINUN 23:100
(Maksudnya: di hadapan mereka ada penutup yang menghalangi mereka untuk kembali lagi ke dunia sampai hari kiamat tiba).

Tidak terdapat walau sebuah riwayatpun yang sampai kepada kita bahawa ada salah seorang dari sahabat yang melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam setelah baginda wafat dalam keadaan berjaga, maka apakah mereka lebih mulia daripada sahabat? Maha Suci Engkau (Ya Allah!), ini merupakan pembohongan yang sangat besar.


19. Para penganut sufi mengaku bahawa mereka mengambil ilmu dari Allah secara langsung tanpa melalui perantaraan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sehingga mereka mengatakan: “Telah menceritakan kepadaku hatiku dari rabbku.” Ibnu Arabi yang dikuburkan di Damaskus berkata di dalam bukunya al-Fusyush:
“Antara kami ada yang menjadi pengganti Rasul yang ia dapat mengambil hukum dari baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam atau dengan cara berijtihad yang juga berasal dari baginda pula, dan antara kami ada yang mengambil hukum dari Allah sehingga ia menjadi khalifah (pengganti) Allah.”

Saya berkata: Ucapan ini adalah batil dan bertentangan dengan al-Quran yang (menunjukkan) bahawa sesunguhnya Allah mengutus Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam supaya ia menyampaikan perintah-perintah Allah kepada umat manusia. Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:

يَااَيُّهَا الرَّسُوْلُ بَلِّغْ مَآاُنْزِلَ اِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ.
“Hai Rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu”. AL-MAIDAH 5:67

Dan tidak mungkin ada sesiapa yang secara langsung mengambil apapun ilmu dari al-Quran, apabila ada yang mengaku demikian maka dia adalah pembohong dan mengada-adakan. Kemudian tidak mungkin manusia menjadi pengganti Allah, kerana Allah tidak akan pernah hilang dari kita hingga ia mengganti manusia (dengan manusia yang lain). Maka Allahlah yang mengantikan kita (bagi keluarga kita di rumah) di saat-saat kita sedang berpergian. Terdapat di dalam sebuah hadis yang berbunyi:

“Ya Allah! Engkaulah teman dalam berpergian dan pengganti dalam keluarga.”[11]

20. Para penganut sufi merayakan maulid Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan berkumpul-kumpul dalam suatu majlis yang mereka namakan “Majlis Selawat atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam.”, Namun mereka menyalahi ajaran-ajaran baginda, apalagi disaat mereka mengeraskan suaranya dalam berzikir, bernasyid dan dalam syair-syair mereka yang mana di dalamnya mengandungi kesyirikan yang nyata. Saya pernah mendengar mereka berkata tentang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Tolonglah kami wahai yang memiliki kedudukan yang luas, wahai yang melimpahkan cahaya sehingga ada pertolongan!”

“Wahai Rasulullah! Lapangkanlah beban kami kerana tidak ada suatu beban/bencana yang melihatmu melainkan ia akan lari.”

Saya berkata: Islam mewajibkan kita beriktikad bahawa yang melimpahkan cahaya terhadap segala makhluk yang ada dan yang melapangkan dari bencana hanyalah Allah.

21. Para penganut sufi sengaja menziarahi kuburan untuk bertabaruk (meminta berkah) kepada si mayat di dalam kubur, tawaf di sekelilingnya atau menyembelih binatang korban di sisinya. Para sufi biasanya menziarahi kuburan para wali. Amalan mereka berlawanan dengan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Tidak dibolehkan melakukan ziarah (secara khusus ke masjid-masjid) kecuali ketiga masjid: Masjidil-Haram, Masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidil-Aqsa.”
[12]

22. Para sufi terlalu fanatik (ghalu) kepada syeikh-syeikh atau ketua-ketua mereka walaupun bertentangan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dan sabda RasulNya:


يَا اَيُّهَاالَّذِيْنَ آمَنُوْا لاَ تُقَدِّمُوْا بَيْنَ يَدَيِ اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَاتَّقُوْا الله.

“Hai Orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah”. AL-HUJURAT 49:1

Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

لاَطَاعَةَ فِى مَعْصِيَةِ اللهِ اِنَّمَا الطَّاعَةُ فِى الْمَعْرُوْفِ.

“Tidak ada ketaatan kepada seorangpun dalam bermaksiat kepada Allah, kerana sesungguhnya ketaatan itu dalam hal yang makruf (kebaikan)”. Mutafak ‘Alaihi.

23. Para sufi memakai azimat-azimat, simbol-simbol huruf atau nombor-nombor untuk beristikharah (meminta keputusan pilihan antara dua perkara) serta memakai tangkal-tangkal dan lain-lainnya.

Saya berkata: Mengapa mereka bergantung kepada khurafat-khurafat tentang hitungan huruf-huruf dan mereka meninggalkan doa istikharah yang termaktub dalam kitab Sahih Bukhatri yang telah diajarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam kepada para sahabatnya sebagaimana baginda mengajarkan sebuah surah dari al-Quran, baginda bersabda:

“Apabila salah seroang antara kamu mengalami kesusahan dalam suatu urusan, hendaknya ia solat sunnah dua rakaat, kemudian berdoa: Ya Allah! Sesugguhnuya aku mohon kepadaMu kekuatan dengan kekuasaanMu and aku mohon kurniaMu yang besar, kerana Engkaulah yang Maha Kuasa sedang aku tidak berkuasa, Engkaulah yang mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib”. [13]
24. Dalam mengamalkan selawat, orang-orang sufi tidak membiasakan diri dengan selawat-selawat yang berasal dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, tetapi mereka mencipta sendiri selawat-selawat bid’ah yang di dalamnya mengandungi kesyirikan yang nyata, dimana baginda tidak akan redha terhadap orang yang berselawat dengan selawat yang bid’ah. Saya telah membaca kitab Afdhalus Salawat karangan Syeikh Lubnani seorang sufi dimana dia berkata di dalam kitabnya:

“Ya Allah! Berilah selawat atas Nabi Muhammad sehinga Engkau jadikan dia sebagai Ahadiyah dan Qayumiyah.”

Saya berkata: Al-Ahadiyah (Yang Maha Tunggal/Esa) dan Qayumiyah (Yang Maha Berdiri Sendiri) adalah di antara sifat-sifat Allah dan Asma’ul HusnaNya.
Di dalam kitab Dala ilul Khairat terdapat banyak selawat-selawat bid’ah yang tidak diredhai Allah mahupun RasulNya sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

25. Wahai saudaraku sesama muslim! Sesungguhnya saya telah mengkaji bahawa ajaran tasawuf sangat jauh dari Islam. Setelah saya teliti dari segi akidah dan amal perbuatannya dalam timbangan dinul Islam dan akal yang sehat, pasti akan menolak bid’ah-bid’ah, kesesatan dan kemungkaran ini kerana akan menjerumuskan manusia ke dalam lembah kesyirikan dan kekafiran.

Ya Allah! Tujukkanlah kami yang benar itu benar dan anugerahkan kami agar mengikutinya serta jadikanlah kami mencintainya dan tunjukilah kami yang batil itu batil dan anugerahkan kepada kami untuk dapat menjauhinya serta jadikanlah kami membencinya.
Selawat dan salam semoga sentiasa tercurah kepada Nabi kita Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan keluarganya.





------------------------------------------------------------------------------



[1] . H/R Turmizi
[2] . H/R Turmizi.
[3] . Lihat: Al-Futuh al-Makiyah. Ibn Arabi.
[4] . H/R Muslim.
[5] . H/R Turmizi.
[6] . Lihat: Tafsir Jalalain.
[7] . H/R Muslim.
[8] . H/R Bukhari
[9] . H/R. Muslim.
[10] . H/R Tabrani (hasan)
[11]. H/R Muslim
[12] . Hadis Mutafiq ‘alaihi.
[13] . H/R Bukhari.