Tuesday

08 - TAKUT DAN BERHARAP

TAKUT DAN BERHARAP



Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:

وَادْعُوْهُ خَوْفًا وَطَمَعًا

“Berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan dengan penuh pengharapan (akan dikabulkan)”. AL-‘ARAF 7:56.

Allah Ta’ala telah memerintahkan kepada sekalian hambaNya supaya mereka berdoa hanya kepada Yang Maha Menciptakan dan Yang diIbadahi oleh mereka lantaran rasa takutkan api neraka dan azabNya. Serta mengharap untuk memperolehi syurgaNya dan kenikmatanNya sebagaimana firmanNya:

نَبِّئْ عِبَادِيْ اِنِّيْ اَنَا الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمِ وَانَّ عَذَابِيْ هُوَ الْعَذَابُ الآلِيْمُ.

“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa sesungguhnya Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan bahawa sesungguhnya azabKu adalah azab yang sangat pedih”. AL-HIJR 15:49-50.

Hanya dengan rasa takut kepada Allah menyebabkan seseorang hamba menjauhi perbuatan-perbuatan maksiat kepada Allah dan setiap yang dilarang. Sedangkan rasa tamak untuk memperolehi syurgaNya akan mendorong seseorang itu untuk beramal soleh dan mengerjakan setiap apa yang diredhaiNya. Kesimpulan dari apa yang dijelaskan oleh ayat di atas:

1. Sewajarnya seorang hamba itu berdoa hanya kepada RabNya yang telah menjadikannya, kerana Dialah Yang Maha Mendengar dan Mengabulkan doanya.

2. Pengharaman dari berdoa kepada selain Allah walaupun kepada nabi, wali atau malaikat. Kerana doa itu adalah ibadah, contohnya seperti solat, maka tidak boleh ditujukan kepada sesuatu apapun kecuali hanya kepada Allah semata.

3. Sewajarnya seorang hamba itu berdoa kepada Rabnya dengan rasa takut dari api nerakaNya dan kerana ingin untuk memperolehi syurgaNya

4. Ayat di atas merupakan bantahan kepada orang-orang sufi yang mengatakan bahawa mereka tidak beribadah kepada Allah kerana rasa takut kepadaNya, atau mengharapkan untuk mendapatkan apa yang ada di sisiNya kerana rasa takut dan harap adalah antara jenis-jenis ibadah. Dan sesungguhnya Allah telah memuji para nabi dan merekalah manusia-manusia pilihan sebagaimana firmanNya:


فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَ وَاَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ اِنَّهُمْ كَانُوْا يُسَارِعُوْنَ فىِ الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُوْنَنَا رَغَبًا وَكَانُوْا لَنَا خَاشِيْعِيْنَ

“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam mengerjakan perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harapan cemas dan mereka adalah orang-orang yang khusuk kepada Kami” AL-ANBIA 21:90.

5. Ayat di atas merupakan bantahan terhadap kitab (al-Arba’in an-Nawawiyah) ketika Imam Nawawi mensyarahkan hadis:

“Sesungguhnya semua amal itu tergantung pada niatnya” di mana beliau mensyarahkan: Dan apabila seseorang beramal kemudian diiringi dengan niat maka ada tiga keadaan baginya:

1. Dia melakukan amal tersebut kerana rasa takut kepada Allah Ta’ala. Perbuatan ini disebut sebagai ibadahnya seorang budak.

2. Dia mengerjakan sesuatu amal kerana mencari syurga dan pahala. Ini disebut sebagai ibadahnya pedagang.
3. Dia mengerjakan sesuatu amal kerana rasa malu kepada Allah dan untuk melaksanakan hak-hak ubudiyah serta sebagai rasa bersyukur. Hal ini disebut sebagai ibadahnya seorang yang merdeka.


As-Syaid Muhammad Rasyid Ridha, menyentuh pendapat ini di dalam kitabnya (Majmu’atul Hadis an-Najdiyah) kemudian beliau menegaskan:

“Pembahagian seperti ini menyerupai pendapat para penganut sufi dengan pendapat para fukaha hadis. Pendapat yang betul ialah bahawa kesempurnaan ibadah apabila dicantumkan antara rasa takut (yang beliau sebut dengan ibadahnya budak kerana kita semua adalah hamba-hamba Allah) dengan rasa harapan untuk mendapatkan pahala dan kurnia Allah (yang beliau sebut dengan ibadahnya pedagang)”.

Saya berkata: Syeikh Mutawally asy-Sya’rawy menghidupkan akidah ini dalam kitab-kitabnya sebaliknya bertambah jauh penyimpangannya, kerana beliau menafsirkan hal ini dengan contoh T.V (mungkin yang dimaksudkan Syeikh Mutawally adalah orang yang terlalu menaruh harapan kepada T.V termasuk syirik). Wallahu ‘alam. Firman Allah:

وَلاَ يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ اَحَدًا

“Dan janganlah ia menyekutukan seseorangpun dalam beribadah kepada Rabbnya”. AL-KAHFI 18:110.

Kemudian ia menegaskan: Syurga adalah satu (yang ia maksudkan adalah: Sesiapa yang beribadah kepada Allah kerana ingin mendapatkah syurga adalah syirik).