Tuesday

09 - TAHUKAH ANDA APA ITU QASHIDAH AL-BURDAH?

TAHUKAH ANDA APA ITU QASYIDAH AL-BURDAH?



Qasidah (syair al-Burdah) ditulis oleh penyair al-Bushoiry yang sangat popular di tengah-tengah masyarakat, terutama di kalangan orang-orang sufi. Namun, jika kita menghayati maksudnya, maka kita akan dapati isinya sangat bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah Rasul sallallahu ‘alaihi wa-sallam, berikut ini huraian syair-syair tersebut:

1). “Wahai orang yang paling mulia! Aku tidak mempunyai pelindung selain engkau ketika datang bencana yang merata”.

Si penyair beristighfar (meminta pengampunan) kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sambil berkata:

“Aku tidak menemui seorang yang dapat melindungiku ketika datang bencana yang menyeluruh kecuali engkau.”

Ini termasuk syirik akbar (syrik besar) yang mengekalkan pelakunya di dalam api neraka jika tidak bertaubat dari syirik tersebut. Sebagaimana firman Allah Ta’ala:

وَلاَ تَدْعُ مِنْ دُوْنِ اللهِ مَا لاَ يَنْفَعُقَ وَلاَ يَضُرُّكَ فَاِنْ فَعَلْتَ فَاِنَّكَ اِذًا مِنَ الظَّالِمِيْنَ.

“Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak pula memberi mudharat kepadamu selain Allah, sebab jika kamu berbuat (yang demikian) itu, maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang zalim.” YUNUS 10:106

(Maksud zalim ialah: Orang-orang musyrik, kerana syirik itu merupakan kezaliman yang sangat besar). Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَدْعُ مِنْ دُوْنِ اللهِ نِدًّا دَخَلَ النَّار.

“Barangsiapa mati dan ia menyeru (berdoa) kepada selain Allah sebagai tandingan-Nya, maka ia pasti masuk neraka.”[1]


2). “Sesungguhnya antara kedermawananmu adalah engkau berikan dunia dan akhirat. Dan di antara ilmu-ilmumu adalah ilmu Lauhul Mahfudz dan Al-Qalam (pena).”
Ini adalah pendustaan terhadap al-Quran yang mana Allah Ta’ala telah berfirman:

وَاِنَّ لَنَالَلآخِرَةَ وَالاُوْلَى

“Dan sesungguhnya kepunyaan Kami-lah akhirat dan dunia”. AL-LAIL 92:13.

Maka dunia dan akhirat kedua-duanya adalah kepunyaan Allah dan termasuk ciptaan-Nya (makhluk-Nya), dan ia dicipta bukan kerana kedermawanan Rasulullah. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak mengetahui apa yang ada di dalam Lauhul Mahfudz, kerana tidak seorangpun yang mengetahui apa yang ada di dalamnya kecuali Allah semata.

Hal seperti ini samalah seperti pensucian dan berlebih-lebihan dalam memuji Rasulullah, sehingga (penyair menganggap) dunia dan akhirat dicipta kerana kedermawanan Rasulullah. Ia menganggap bahawa baginda mengetaui hal-hal ghaib yang ada di Lauhul Mahfudz, bahkan ia menganggap apa yang ada di Lauhul Mahfudz dari ilmu baginda.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam melarang dari mensucikan baginda sebagaimana sabdanya:

لاَتَطْرُوْنِيْ كَمَا اَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ ، فَاِنَّمَا اَنَا عَبْدُهُ فَقُوْلُوْا عَبْدَ اللهِ وَرَسُوْلَهُ.

“Janganlah kamu mensucikanku sebagaimana orang-orang Nasrani mensucikan Nabi Isa putera Maryam, kerana sesungguhnya aku adalah seorang hamba, maka katakanlah: Abdullah (hamba Allah) dan Rasul-Nya.” [2]


3). “Tidaklah sesuatu yang buruk menimpaku kemudian aku minta perlindungan darinya. Kecuali aku akan mendapatkan pertolongan dari sisinya.”

Penyair juga mengatakan: “Tidaklah aku tertimpa sakit atau kesusahan kemudian aku meminta kesembuhan atau penyelesaian dari kesusahan itu kepada baginda (Rasulullah) kecuali ia akan menyembuhkanku dan melapangkan kesusahanku.”

Al-Quran mengisahkan tentang ucapan Nabi Ibrahim ‘alaihis salam kepada Allah Azza wa Jalla:

وَاِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِيْنِ
“Dan apabila aku sakit, Dia-lah yang menyembuhkan aku.”. ASY-SYURA 26: 80.

وَاِنْ يَمْسَسْكَ اللهُ بِضُرٍّ فَلاَ كَاشِفَ لَهُ اِلاَّ هُوَ.

“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri.”. AL-AN’AM 6:17.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

اِذَا سَاَلْتَ فَاسْاَلِ اللهَ وَاِذَااسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ.

“Apabila kamu meminta (sesuatu), maka mintalah kepada Allah dan apabila kamu memohon pertolongan maka mnitalah pertolongan kepada Allah” .[3]


4). “Sesungguhnya aku mempunyai jaminan darinya kerana namaku Muhammad dan dia adalah orang yang paling menepati janji.”

Penyair berkata: “Sesunggunya aku mempunyai perjanjian dengan Rasulullah supaya ia memasukkan aku ke dalam syurga kerana namaku Muhammad.”

Dari mana (dalil) dia mempunyai perjanjian ini? Padahal kita menyedari bahawa ramai dari kaum muslimin yang fasik dan komunis namanya Muhammad, maka apakah dengan memberi nama Muhammad akan menjamin mereka masuk syurga? Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah bersabda kepada puteri baginda Fatimah radiallahu ‘anha:

سَلِيْنِيْ مَاشِئْتِ مِنْ مَالِيْ لاَاُغْنِيْ عَنْكِ مِنَ اللهِ شَيْئًا

“Mintalah kepadaku dari hartaku sehendakmu, (namun) aku tidak dapat (menjaminmu) di sisi Allah sedikitpun”.[4]


5). “Semoga rahmat Rabku ketika Ia memberinya, diberikan sesuai dengan tingkat kemaksiatannya.”

Perkara ini tidak benar kerana sekiranya rahmat Allah diberikan berdasarkan tingkat kemaksiatan seseorang sebagaimana yang dikatakan oleh penyair di atas, tentulah setiap muslim akan menambah kemaksiatannya sehingga ia memperolehi rahmat yang lebih banyak lagi. Tetapi hal seperti ini tidak mungkin diucapkan oleh seorang muslim dan orang yang berakal kerana bertentangan dengan firman Allah Ta’ala:

اِنَّ رَحْمَتَ اللهِ قَرِيْبٌ مِنَ الْمُحْسِنِيْنَ.

“Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik”. AL-A’RAF 7:56.


وَرَحْمَتِيْ وَسِعَتْ كُلَّ شَيْىءٍ فَسَاَكْتُبُهَا لِلَّذِيْنَ يَتَّقُوْنَ وَيُؤْتُوْنَ الزَّكَاةَ وَالَّذِيْنَ هُمْ بِآيَاتِنَا يُؤْمِنُوْنَ.

“Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu, maka akan Aku tetapkan rahmatKu untuk orang yang bertaqwa, yang menunaikan zakat dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami”. AL-A’RAF 7:156.

6). “Untuk apa kamu terlalu meminta dunia padahal kalau bukan kerana Nur Muhammad nescaya dunia ini tidak akan dicipta”.

Penyair berkata: “Sekiranya tidak kerana Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam maka dunia ini tidak akan diciptakan.” Allah Ta’ala mengingkari pembohongan ini sebagaimana firman-Nya:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu”. ADZ-DZARIYAT 51: 56.

Malah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam sendiri dicptakan untuk beribadah dan menyeru manusia supaya beribadah kepada Allah sebagaimana firmanNya:

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَاْتِيَكَ الْيَقِيْنُ.

“Dan sembahlah Tuhanmu hingga sampai kepadamu yang diyakini (ajal/mati)” AL-HIJR 15:99.

7). “Aku bersumpah dengan bulan yang terbelah, jika kepunyaannya dari hatinya, maka petanda terkabulnya sumpah tersebut.”

Penyair bersumpah dengan bulan sedangkan Rasulullah bersabda:

مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللهِ فَقَدْ اَشْرَكَ.

“Barangsiapa bersumpah atas nama selain Allah, maka ia telah berbuat syirik.”[5]


Kemudian penyair berkata tentang Rasulullah dengan kata-kata:

“Sekiranya mukjizat Rasul itu benar, nescaya ketika disebut nama Rasul pasti bangkitlah tulang-tulang yang telah binasa.”

Maksudnya: Sekiranya mukjizat Rasul itu berkuasa atas tulang-belulang, pasti mayat yang telah hancur itu akan hidup dan bangkit kembali dengan menyebut nama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Namun, kenyataan semuanya itu tidak terjadi, maka seolah-olah Allah belum memberi mukjizat yang memang sebagai hak Rasul kepada rasulNya. Ucapan penyair ini seakan-akan penentangan terhadap Allah kerana belum memberi mukjizat yang menjadi haknya Rasulullah. Ini adalah pembohongan dan pendustaan atas nama Allah, kerana Allah Ta’ala telah memberikan kepada setiap NabiNya mukjizat-mukjizat yang sesuai baginya.

Contohnya:
Dia telah memberikan kepada Nabi Isa ‘alaihis salam mukjizat yang ia dapat menyembuhkan mata orang buta, penyakit kusta, menghidupkan kembali orang yang sudah mati, Allah Ta’ala juga telah memberikan mukjizat kepada junjungan kita Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam berupa Al-Quran, dapat memperbanyak air serta makanan, dapat membelah bulan dan lain-lain.

Lebih menghairankan lagi, Qasyidah ini dinamakan Burdah atau Bur’ah (ertinya pakaian atau penyembuhan) kerana penulis sebagaimana pengakuannya pernah sakit, kemudian ia melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam kemudian baginda memberikan jubah kepadanya, setelah ia memakainya ia terus sembuh dari peyakitnya. Ini sebenarnya dusta dan bohong sehingga mereka mengagung-agungkan Qasyidah ini. Sedarlah! Bagaimana Rasulullah akan redha terhadap ucapan seperti ini yang menyalahi al-Quran dan petunjuk Rasulullah kerana di dalam qasidah ini mengandungi kesyirikan yang nyata.

Ketahuilah bahawa pernah seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sambil berkata: “Atas kehendak Allah dan kehendakmu”, maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda kepadanya: “Apakah kamu akan menjadikan aku tandingan bagi Allah? Tetapi katakanlah!: Atas kehendak Allah semata”[6]

Wahai saudaraku muslim! Waspadalah olehmu terhadap Qasyidah (syair) ini dan syair-syair yang semisalnya. Ia bertentangan dengan al-Quran dan petunjuknya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Yang menghairankan lagi, ada di beberapa negara Islam yang mengucapkan penghormatan terakhir kepada mayat yang sedang diusung ke perkuburan dengan syair ini, maka mereka menambahkan kesesatan ini dengan bid’ah-bid’ah yang lain. Sedangkan Rasulullah telah menyuruh kita supaya diam ketika ada jenazah yang sedang diusung. Sesungguhnya tiada daya kekuatan kecuali hanya bagi Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Agung.




------------------------------------------------------------------------
[1] . H/R Bukhari
[2] . H/R Bukhari.
[3] . H/R Turmizi (hadis hasan).
[4] . H/R Bukhari.
[5] . H/R Ahmad (hadis sahih).
[6] . H/R Nasai (dengan sanda yang hasan).